Saturday, February 21, 2009

DRIRWAN ABU BAKAR

Irwan Abu Bakar atau Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas ialah Profesor di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya. Beliau berasal dari Segamat, Johor dan dilahirkan pada 11 Mei 1951.

Kepakaran profesionalnya adalah dalam disiplin biomekanik dan mekanik tisu. Dalam bidang sastera, beliau menulis sajak, cerpen, dan laporan/artikel. Antologi sajak perseorangannya berjudul Semelar telah diterbitkan pada tahun 2003 (kAPAS Publication, Jun 2003).

Beliau juga kerap terbabit dengan deklamasi puisi. Beliau mulai menulis cerpen pada tahun 2002. Cerpen pertamanya yang disiarkan di media perdana ialah "$yy..." (Berita Minggu, 25.5.2003). Kini beliau menerbitkan e-majalah sastera (majalah sastera dalam Internet), e-sastera (www.esastera.com).

BIODATA PANJANG (SASTERA)

Irwan Abu Bakar atau Prof. Dr. Ir. Wan Abu Bakar Wan Abas ialah profesor di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya. Beliau berasal dari Segamat, Johor dan dilahirkan pada 11 Mei 1951.

Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Segamat dan Johor Bahru. Kemudiannya beliau meneruskan pengajian peringkat diploma dalam bidang kejuruteraan mekanik di Maktab Teknik, Kuala Lumpur (kini UTM), dan seterusnya sarjana muda (kejuruteraan mekanik) sehingga PhD (biokejuruteraan) di University of Strathclyde, Glasgow, Scotland, United Kingdom.

Kepakaran profesionalnya adalah dalam disiplin biomekanik dan mekanik tisu. Beliau merupakan anak Malaysia pertama yang mengikuti pendidikan formal dalam bidang biokejuruteraan. Kini beliau sedang melibatkan diri dengan penyelidikan dalam bidang analisis gerakan dan kejuruteraan tisu.

Di Universiti Malaya, beliau mulanya bertugas sebagai Pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Mekanik pada tahun 1978. Pada tahun 1997, beliau telah menubuhkan Program Kejuruteraan Biperubatan dan berpindah tempat kerja ke situ.

Beliau pernah menjadi Dekan, Fakulti Kejuruteraan, sebanyak tiga kali dan Ketua, Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan. Kini beliau ialah Profesor di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan dan melepaskan jawatan Ketua Jabatan kerana dilantik sebagai Pengetua, Kolej Kediaman Kedua yang disandangnya hingga 31.12.2005. Beliau telah menjadi ahli Senat Universiti Malaya untuk lebih kurang 15 tahun.

Dalam bidang sastera, beliau bermula dengan menulis sajak. Puisi pertamanya yang diterbitkan di media cetak ialah "Disforia Alam Bahasaku" (Pelita Bahasa, Februari 1995). Kini lebih kurang 50 buah puisinya telah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera, Pelita Bahasa, Dewan Budaya, dan Tamadun, serta akhbar Berita Minggu, Mingguan Malaysia lain-lain.

Puisi-puisinya juga dimuatkan dalam antologi bersama Misi (DBP,1996), Tanah Serendah Sekebun Bunga (DBP,1998), Sumpah Setia Bahasa (GAPENA,1999), dan Gelodak (PIKIR, 2003). Antologi sajak perseorangannya berjudul Semelar (kAPAS Publication, Jun 2003).

Irwan Abu Bakar juga sering melibatkan diri dalam majlis deklamasi puisi dan memberi kursus tentang penulisan dan apresiasi puisi, terutamanya puisi siber.

Di samping sajak, beliau juga menulis cerpen dan laporan/artikel. Irwan Abu Bakar mula menulis cerpen untuk siaran media pada tahun 2002. Cerpen pertamanya yang disiarkan di media perdana ialah "$yy..." (Berita Minggu, 25.5.2003). Beberapa buah cerpennya telah disiarkan di majalah elektronik esastera.com.

Beliau mula terlibat dengan pengkaryaan di internet secara serius apabila menjadi pengasas Komuniti "Penyair" (www.communityzero/penyair) pada tahun 2002. Laman web itu ialah sebuah laman web awam yang menerima sajak-sajak disiarkan secara bebas oleh pelayar.

Komuniti itu kemudiannya telah digabungkan secara inovatif dengan beberapa komuniti yang menangani genre-genre sastera yang lain untuk membentuk majalah elektronik esastera.com (www.esastera.com).

Pada masa ini, esastera.com mengandungi lebih 20 komuniti sastera yang merangkumi sajak jenaka, cerpen, novel, pantun, madah, dan lain-lain. Pada bulan Ogos 2004, beliau mula menerbitkan e-majalah sastera bulanan yang dinamai Bulanan eSastera (BESt) di www.esastera.com/best.

BESt kini diberhentikan peerbitannya baut sementara waktu. Di samping itu, beliau juga menerbitkan e-majalah sastera-sms di www.saster-sms.com dan web-tv sastera di www.tvsastera.com dan www.wtvsastera.com. Kini beliau juga menerbitkan majalah cetakan keras empat kali setahun Sastera.Net yang memfokus kepada sastera siber.

Melalui kegiatannya di internet khususnya di esastera.com, beliau telah menulis dalam pelbagai genre termasuk sajak, sajak jenaka, pantun, novel, haiku, dan lain-lain dan mengusahakan penerbitan antologi puisi Apas dan antologi sajak jenaka Sajen, buku Kursus Kepenyairan eSastera (semuanya dierbitkan oleh kAPAS Enterprise, 2003), dan terakhir e-novel Hostel: Debaran Kedua (Esastera Enterprise, 2004).

Beliau juga telah mengusahakan hadiah pertama pada peringkat nasional yang menawarkan anugerah kepada karya yang disiarkan di alam siber. Hal ini dilakukannya melalui Hadiah Esastera.com 2003 (Hescom 03) yang menawarkan dua anugerah, iaitu Anugerah Penyair Alam Siber 2003 (Apas 03) dan Anugerah Sajak Jenakan Alam Siber 2003 (Asjas 03).

Hadiah eSastera.com 2004 telah dilaksanakan pada 25 Disember 2004, sempena ulang tahun kedua majalah esastera.com. Hadiah ini menawarkan anugerah dalam enam kategori, iaitu Anugerah Penyair Alam Siber (Apas), Anugerah Sajak Jenaka Alam Siber (Asjas), Anugerah Cereka (Cerpen/Skrip Drama) Alam Siber (Acas), Anugerah Novelis Alam Siber 2004 (Anas 2004), Anugerah Sajak Multimedia/Interaktif Alam Siber (Asmi), dan Anugerah Haiku Melayu Alam Siber (Ahmas).

Hescom 05 telah dilaksanakan pada 25 Disember 2004 dan menawarkan lima kategori anugerah, iaitu Apas 05, Asjas 05, Acas 05, Anas 05, dan Ahmas 05. Hescom 06 telah diadakan pada 24.12.2006 di DBP dan menawarkan lima kategori anugerah, sama seperti Hescom 05. Di Hescom 06, buat pertama kalinya, esastera.com telah mengeluarkan anugerah tertingginya, Anugerah Sasterawan Alam Siber (ASWAS) dengan hadiah utama RM10,000.00. Hescom 07 akan diadkan pada 22.12.2007.

Pada pertengahan tahun 2005, Irwan menerbitkan laman web berbentuk weblog yang dinamai esasterawan.com, dipercayai satu-satunya templat blog berbahasa Melayu di dunia setakat ini.
E-penerbitan terbaru beliau ialah sebuah laman web yang mencuba mempromosikan penulisan pantun dalam bahasa Inggeris, terutamanya di kalangan masyarakat Barat.

Laman ini diterbitkan dengan kerjasama sebuah laman web puisi Amerika dan dapat diakses di www.pantun.com.my

No comments:

Post a Comment